Menuntut Ilmu

Assalamualaikum.

"Allah akan mengangkat darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.." [Al-Mujaadilah: ayat 11]

Menuntut ilmu sememangnya dituntut oleh agama Islam. Tidak sempurna amalan yang dilakukan tanpa ilmu, malah boleh menyesatkan jika dilaksanakan dalam kejahilan. Walaubagaimanapun, terdapat
adab-adab menuntut ilmu yang harus diambil kira dan dijaga, agar ilmu dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan penuntut tidak tersalah jalan, seterusnya mendapat keberkatan di dunia dan akhirat. Adab menuntut ilmu ada banyak sekali, tetapi dapatlah diringkaskan kepada tujuh.

1) Niat

Niat untuk menuntut ilmu itu haruslah ikhlas kerana Allah SWT, untuk mendekatkan diri kepada Allah, dan untuk bukannya kerana inginkan keuntungan dan ganjaran duniawi semata-mata.

Sabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa yang menuntut suatu ilmu (yang semestinya) untuk mendapat redha Allah (tetapi) ia tidak menuntut melainkan untuk mendapat ganjaran duniawi, nescaya kelak pada hari kiamat tidak memperoleh bau syurga." [HR Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah]

Sabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa yang menuntu ilmu supaya dengannya (ilmu itu) ia boleh berbantah-bantahan dengan ulama atau agar boleh bertengkar dengan orang jahil ataupun dengannya ia disanjung oleh manusia, maka Allah akan memasukkannya ke dalam neraka." [HR Tarmizi]

Janganlah kita menggunakan ilmu untuk mencari pangkat, kedudukan, harta, kemewahan, untuk menyombongi yang lain dan menghina orang-orang yang kurang berilmu.


2) Menjaga akhlak dan menjauhi maksiat

Kita juga harus terlebih dahulu membersihkan jiwa dan akhlak dari perbuatan tercela. Selagi jiwa masih kotor, ia tidak akan menerima ilmu yang berguna pada agama dan tidak disinari oleh nur ilmu itu. Oleh itu, hiasilah diri dengan budi pekerti yang mulia, percakapan yang elok, sopan-santun, sabar dan berketerampilan yang elok. Orang yang mempunyai ilmu tidak akan sesekali menghiasi dirinya dengan sifat-sifat tercela, jika tidak maka ilmu yang dipelajarinya adalah sia-sia.

Firman Allah SWT: "Sebenarnya orang-orang musyrik itu najis." [Surah At-Taubah: ayat 28]


3) Berkorban dan berusaha bersungguh-sungguh

Untuk memperoleh ilmu, kita mesti berkorban dan berusaha bersungguh-sungguh kerana ilmu bukan dapat diperoleh begitu sahaja. Seseorang mesti berusaha untuk mendapatkannya, bahkan sesiapa yang berusaha dengan bersungguh-sungguh Allah akan memberi pertolongan kepadanya.

"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira dan beroleh keredhaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya." [Al-Ankabut, ayat 69]

Pengorbanan yang dilakukan dalam usaha memperoleh ilmu dapat dilihat dari segi masa, tenaga dan juga kewangan. Seiring dengan peredaran zaman, manusia makin sibuk dengan kerja dan urusan duniawi dimana amat sukar mencari sedikit masa untuk menuntut ilmu. Oleh itu, berusaha mencari masa untuk menimba ilmu dan tenaga untuk ke kelas-kelas ilmu adalah antara pengorbanan yang boleh dilakukan. Pengorbanan kewangan boleh dilihat dari segi berbelanja untuk membeli buku-buku ilmiah atau menghadiri kelas-kelas berbayar.

Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang menempuh sesuatu jalan kerana mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga." [HR Muslim]


4) Mendahului ilmu yang lebih penting

Jika usia masih mengizinkan, pelajarilah ilmu yang terpenting dahulu dan disusuli dengan yang lainnya.
Orang yang baru berkecimpung dengan ilmu dinasihati menjauhi dahulu ilmu yang boleh mendebatkan pertentangan fahaman. Sebaik-baik ilmu ialah ilmu akhirat, dan puncak segala ilmu ialah ilmu Mengenal Allah.

Mengikut syariah Islam ilmu terbahagi kepada dua cabang utama iaitu ilmu Fardhu Ain dan ilmu Fardhu Kifayah. Ilmu Fardhu Ain wajib dipelajari oleh semua umat Islam dan menjadi tanggungjawab individu, manakala ilmu Fardhu Kifayah pula wajib dipelajari oleh sebahagian ahli masyarakat dan merupakan tanggungjawab sosial.

Sabda Rasulullah SAW: "Menuntut ilmu agama itu adalah wajib keatas setiap muslim." [Riwayat Al-Baihaqi]

Ilmu Fardhu Ain dibahagikan kepada beberapa cabang, antaranya ilmu Tauhid iaitu secara ringkasnya ilmu Mengenal Allah dan para nabiNya, ilmu Fiqah berhubung thaharah (bersuci), solat, zakat, puasa dan haji, dan ilmu Tasawuf yang menerangkan tentang akhlak, pergaulan dan seangkatan dengannya.


5) Mendampingi orang berilmu

Berhubunglah dengan orang-orang yang berilmu oleh kerana mereka ini memberikan pengaruh yang besar keatas diri kita.
Dengan ilmu yang mereka ada inilah yang meninggikan mereka menjadi pemimpin dan pembimbing kita ke jalan kebaikan serta memberi petunjuk dengan ajaran yang dibawa oleh Rasul. Mereka adalah ahli ulama dan guru-guru yang mengajar ilmu agama berpandukan Al-Quran dan Al-Sunnah yang sahih.

Adab berguru dengan ahli ulama mestilah dijaga. Jika berguru dengan mereka maka muliakan dan hormatilah mereka. Dengarlah nasihat dan contohilah kebaikan mereka. Jika ada perbezaan pendapat, bertanyalah dengan baik dan bukan bertujuan untuk mencabar dan merendahkan kredibiliti mereka.

Walaubagaimanapun, berhati-hatilah dalam memilih guru yang mengajar ilmu agama.


6) Mengamalkan ilmu

Ilmu yang diperolehi hendaklah sekata dengan amalan dan perbuatannya. Dengan ilmu itu juga hendaklah ia mengerjakannya terlebih dahulu.
Firman Allah SWT:

"Mengapa kamu menganjurkan orang berbuat baik sedang dirimu kamu lupakan?" [Al-Baqarah: Ayat 44]


"Amat besar kutukan Allah, bila kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat." [As-Shaf: Ayat 3]



7) Doa dan Zikir

Setelah berusaha meraih ilmu dengan yakin dan sepenuh hati maka pohonlah doa kepada Allah SWT agar diberikan taufiq dan hidayah serta diberkati segala ilmu yang telah dituntut.

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberianNya." [Ali Imram: ayat 8]

"Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku." [Ta-Ha: ayat 114]

"Tunjuklah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, buka (jalan) orang-orang yang telah Engkau murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat." [Al'Fatihah: ayat 6-7]


Mana yang baik datang dari Allah SWT, mana yang buruk adalah kelemahan saya sendiri. Semoga dapat dijadikan panduan dan peringatan kepada saya dan juga yang lain, InsyaAllah...


-Ihya Ulumiddin, Imam Abu Hamid Al-Ghazali
- Kitaabul Ilmi, Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin
- Hafiz Firdaus Abdullah

0 comments: