Solat Sunat Dhuha

Assalamualaikum.

1) Antara solat sunat yang menjadi amalan Rasulullah SAW ialah Solat Sunat Dhuha.

Dalam riwayat Abu Hurairah berkata: "Kekasihku Rasulullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya iaitu; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari dari tiap-tiap bulan". - HR Al-Bukhari dan Muslim.


2) Sesuai dengan namanya Dhuha yang bermaksud pagi, Solat Sunat Dhuha diamalkan pada waktu pagi, iaitu sesudah terbit fajar sehingga gelincirnya matahari. Lebih afdal jika dilakukan apabila matahari makin meninggi dan makin panas sinarnya. Eloklah selepas melakukan kerja di waktu pagi, diisi waktu tengahari dengan rehat yang disertai dengan solat sunat Dhuha.

Berkata Abu Murrah Ath-Tha'ifi r.a. bahawasanya Nabi SAW bersabda: Allah telah berfirman: "Wahai Anak Adam, Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, niscaya Aku akan mencukupimu di akhirnya". - HR Ahmad.


3) Solat Sunat Dhuha terkenal dengan fadhilatnya yang dengan izin Allah dapat memurahkan rezeki di dunia dan di akhirat. Antara fadhilat-fadhilat Solat Sunat Dhuha ialah:

Rasulullah SAW telah bersabda bahawa: "Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih di lautan". - HR Ibnu Majah dan At-Tirmidzi.

Daripada Anas bin Malik Radhiallahu‘anhu berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas”. - HR Ibnu Majah dan Tirmidzi.

Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya  “Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha". - HR Al-Bukhari dan Muslim.

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda bermaksud:
"Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang tidak lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya". - HR At-Thabarani

Sepertimana di dalam kitab "An-Nurain" sabda Rasullullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya : "Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan."

 
4) Cara melaksanakannya amat mudah dan sama seperti solat sunat yang lain. Kebiasaannya dilakukan sebanyak dua hingga lapan rekaat (dua rekaat satu takbir). Ada sebahagian kitab menyatakan sehingga dua belas rekaat. Dua rekaat yang penuh khusyuk dan istiqamah sudah memadai tapi lagi banyak lagi bagus :)

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh 'Aisyah bermaksud: "Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehendakinya". - HR Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah


5) Niat untuk Solat Sunat Dhuha adalah Seperti berikut:

"Sahaja aku solat sunat Dhuha dua rekaat kerana Allah Taala".

 
6) Dari segi pembacaan di dalam solat sunat dhuha tiada wajib membaca surah-surah tertentu. Kebiasaan yang dilakukan oleh para ulama iaitu pada rakaat pertama dibaca surah Fatihah dan surah Wasy-Syamsi atau surah Al-Kafirun. Manakala rakaat kedua dibaca Al-Fatihah dan surah Ad-Dhuha atau surah Al-Ikhlas. Lebih elok dibaca surah Wasy-Syamsi dan Ad-Dhuha.

7)  Doa selepas solat sunat Dhuha yang disarankan ialah:

“Ya Allah bahawasanya waktu dhuha itu waktu dhuhaMu, kecantikan itu ialah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindunganMu. Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanMu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah Engkau limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh. Amin”. 
 


Marilah kita sama-sama mengamalkan solat sunat Dhuha pada waktu pagi semoga dengan ini kita dapat lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT disamping merebut fadhilat-fadhilatnya untuk kesejahteraan di dunia dan di akhirat, InsyaAllah..

0 comments: